"Putus lagi cintaku.
Putuus lagi jalinan kasih sayang ku dengannya.
Daripada sakit hati, lebih baik sakit gigi ini.
Biar, tak mengapa.
Rela, rela, rela, aku relakan."
- petikan daripada lirik lagu Sakit Gigi nyanyian Meggy Z
Baru sebulan berjinak-jinak semula dalam dunia cinta, aku tersungkur lagi buat kesekian kalinya. Lebih tepat - 34 hari. Kali ini disebabkan kawan-kawannya.
Setiap orang datang dengan 'bagasi' masing-masing. 'Bagasi' yang merupakan pakej yang datang dengan setiap orang, yang perlu kita terima jika kita mahu bersama dengan orang tersebut. Ada yang punya bagasi berisi ibu bapa - ibu bapa yang terlalu menginginkan yang sempurna buat anak mereka. Ada yang punya bagasi berisi bekas teman wanita/teman lelaki - ex yang masih punya perasaan dengan mereka ataupun mereka masih punya perasaan dengan ex mereka. Ada yang punya bagasi berisi kerjaya - kerjaya yang seringkali menjadi keutamaan mereka. Ada yang punya bagasi berisi kekecewaan - kisah lampau yang mereka tidak dapat lupakan. Dan dia? Dia punya bagasi berisi kawan-kawannya.
Bukan aku tidak kenal kawan-kawannya. Aku kenal mereka lebih dahulu sebelum aku kenal dia. Aku bukan jenis yang suka bercakap tentang hal orang lain walaupun aku tau banyak cerita tentang kawan-kawannya. Tapi aku diamkan sahaja bila aku bersama dia. Sebab bagi aku, bagasi ini boleh diangkat bersama. Selagi ianya tidak mengganggu hidupku dengannya, apa aku kisah? Aku gembira dengan dia. Walaupun aku kurang gemar bila dia keluar dengan kawan-kawannya, aku tetap biarkan. Sebab dia berhak memilih dengan siapa dia berkawan. Lagipun aku percaya dia. Dia bukan seperti mereka. Namun bila pergaduhan tercetus akibat kawan-kawannya, aku mulai gelisah. Mampukah aku menolongnya mengangkat bagasinya bersama? Akankah dia berkongsi beban bagasinya bersamaku? Ataupun hanya meminta aku mengangkatnya sendirian? Dia kata, kawan-kawannya meragui hubungan kami. Kata kawannya, aku cuma ingin mempermainkan perasaan dia sebab wanita seperti aku boleh mendapatkan yang jauh lebih kacak paras rupanya. Masalahnya, bukan paras rupa yang ku cari. Bukan susuk badan yang ku lihat. Bukan warna kulit yang memberikan ku rasa sayang itu. Kalau paras rupa yang ku cari, lebih baik aku masuk ke dunia seni dan mencari pelakon atau penyanyi atau model untuk bersamaku. Kalau susuk badan yang ku lihat, lebih baik aku ke gym dan mencari lelaki yang paling sasa. Kalau kulit putih yang mampu memberikan aku kasih sayang, lebih baik aku mencari mat saleh di luar sana. Lagi pula, paras rupa ku tidaklah secantik mana. Badan ku pula bukanlah seperti biola. Warna kulit pun kekuningan. Jadi apa yang melayakkan aku untuk memilih semua itu? Semua itu cuma luaran semata. Soal hati yang lebih ku utamakan. Kalau aku selesa dengannya, gembira bersamanya, untuk apa persoalkan fizikal? Kalau soal hati sudah memadai, soal fizikal cumalah satu bonus.
Lepas isu tersebut, isu lain pula yang dibangkitkan. Ya, memang aku pernah rapat dengan seorang kawannya. Kami banyak berkongsi tentang hati dan perasaan kerana kami ditinggalkan pada waktu yang hampir sama. Kami saling menguatkan sesama sendiri. Tetapi itu semua sebelum aku mengenali dia. Kami sudah tidak berhubung antara satu sama lain sejak aku mengenali dia. Malah sebelum aku mengenal dia pun aku telah pun memutuskan untuk tidak berhubung dengan kawannya kerana kawannya telah pun kembali kepada teman wanitanya.
Usai kisah itu, kisah lain pula dibangkitkan. Setiap kali aku menaikturun gambar ku dengannya di laman sosial, aku akan terlebih dahulu meminta izinnya tetapi seringkali aku akan terpaksa membuang gambar tersebut setelah aku menaikturunnya. Mengapa? Kerana kawan-kawannya akan 'screenshot' gambar-gambar tersebut dan menjadikannya bahan dalam 'whatsapp' group mereka. Dia malu. Dia kurang selesa. Bukan aku ingin menunjuk-nunjuk bahagia ku. Tetapi apa salahnya kalau aku menaikturun dua tiga gambar kami bersama? Apa yang ingin dimalukan? Bagi aku, lelaki yang betul-betul mahukan aku sepatutnya bangga untuk memberitahu dunia tentang aku, dan bukannya cuba untuk menyorokkan hubungan kami berdua. Malah pernah sekali kami keluar berdua, dia ragu-ragu untuk masuk ke KFC bersamaku hanya kerana dia terlihat kawan-kawannya ada di dalam. Kalau malu, kenapa bersama?Akhirnya aku tewas. Aku tidak mampu untuk mengangkat bagasinya seorang diri. Itu bagasinya. Aku datang untuk menolongnya mengangkat bagasinya, bukan untuk aku mengangkatnya seorang diri.
Itu kisah bagasinya. Bagaimana pula dengan aku? Seperti dia dan banyak lagi yang lain, aku turut mempunyai bagasi ku sendiri. Apa pula isi bagasi ku? Bagasi ku berisi bekas teman lelaki ku. Meski sudah berpisah dengannya hampir dua tahun, aku tidak dapat nafikan bahawa masih ada sisa-sisa sayang yang masih berbaki dalam lubuk hati ini. Hatiku masih berdegup kencang bila aku mendengar nama ex ku disebut. Tanganku menjadi sejuk apabila aku terlihat kelibat ex ku. Aku masih menangis bila kadangkala teringat tentang memori kami berdua. Tetapi aku tetap mencuba. Aku tidak mahu kisah lepas menganggu kisah ku hari ini. Dan aku sangat-sangat bersyukur kerana dia memahamiku. Dia memberikan ku masa. Dia menolongku mengangkat bagasi yang memang sangat berat untuk ku pikul seorang diri. Dan bagasi itu menjadi ringan. Kenapa? Sebab aku dan dia mengangkatnya bersama.
Tetapi hari ini akhirnya hubungan terputus jua. Kerana bagasinya semata-mata. Mungkin salahku kerana terlalu cepat berputus asa untuk mengangkat bagasi tersebut. Tetapi mengapa dia tidak mahu mengangkatnya bersama ku? Kenapa dia membiarkan ku mengangkat bagasinya seorang diri? Air mata mengalir diawal pagi apabila menerima mesej darinya mengatakan bahawa perpisahan ini dia relakan. Aku pasrah. Baru 34 hari bersama dan semua hal ini telah terjadi. Mungkin sebab kami terburu-buru untuk bersama tanpa cuba mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu. Aku genggam jari-jemari ku erat. Aku risau tertuding jari. Kerana perpisahan ini bukan salah sesiapa. Cuma mungkin dia masih muda dan aku pula masih belum bersedia untuk bercinta lagi.
_______________________________________________________________________________
Arhhhhhh really feel like writing a novel! I should really start writing one and hand it in to a publisher. Who knows, that is my call? :)
0 amazing thoughts:
Post a Comment
Post your thought!